PENNZOIL Fastrac Racing Team yang menampilkan dua penunggang handalan kini bersiap sedia menyusun strategi untuk menggegar Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS 2011, musim ini.
Sebagai jenama yang sinonim dengan sukan permotoran, kemunculan pasukan baru itu dianggap mampu mengukuhkan pasaran produk dan meningkatkan kekuatan jenama di pasaran tempatan, selaras dengan strategi korporat Kumpulan UMW untuk mengembangkan perniagaan minyak pelicirnya. Mempertaruhkan bekas juara Expert 2007 dan 2008, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) dan Ahmad Fazrul Sham (Idemitsu Honda Racing) dalam kelas perdana CP130 serta tiga penunggang muda bagi kategori Wira, Pennzoil Fastrac yang dibimbing bekas jaguh Asia, Kuan Meng Heng, dijangka mampu mencabar kejuaraan Cub Prix yang membuka tirai di Alor Setar, bulan depan. Pengurus Besar UMW Pennzoil Distributors Sdn Bhd, Mohd Ruslan Abdul Ghani berkata, Pennzoil mula melakar nama dalam sukan permotoran menerusi perlumbaan rali pada 2006 dan kini tiba masanya syarikat itu mengorak langkah dalam perlumbaan motosikal tempatan.
“Kami yakin pasukan ini mampu memberikan saingan kepada pasukan lain dalam kejuaraan Cub Prix tempatan, selaras dengan strategi korporat Kumpulan UMW untuk memperkenal dan mengembangkan jenama Pennzoil bagi kategori motosikal,” katanya dalam majlis pelancaran pasukan baru Cub Prix itu di Shah Alam, baru-baru ini.
Pennzoil Fastrac bakal menggunakan jentera Yamaha dan yakin dengan gabungan mantap pelumba, pengurusan dan penaja yang komited, mereka mampu memberi impak, sekali gus meletakkan jenamanya sebagai minyak pelicir yang diyakini.
No comments:
Post a Comment